Apa istimewanya tanggal 14 Februari? Ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh sebilangan besar rakyat dunia pada masa kini. Saban tahun, ramai tertunggu-tunggu akan tibanya tarikh tersebut. Kononnya ia adalah hari kekasih yang mana merupakan detik yang tepat buat pasangan yang hangat bercinta meluahkan rasa kasih dan cinta sesama mereka. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun, asalkan hasrat hati mereka tercapai.
Jika diperhatikan, budaya menyambut hari kekasih ini sudah mendapat tempat dan begitu popular dalam kalangan masyarakat kita termasuklah yang beragama Islam. Ia lebih tertumpu kepada golongan remaja biarpun ada dalam kalangan kita yang sudah berumahtangga sekalipun turut sama meraikan.
Menyimpang
Hari kekasih begitu sinonim dengan pemberian hadiah berupa coklat dan bunga mawar merah. Ia adalah lambang kasih sayang yang sangat istimewa yang diberikan. Bunga mawar dipersembahkan dalam hiasan dan balutan yang cantik manakala coklat pula disampaikan dengan bentuk dan kotak yang menarik sama ada berbentuk hati dan sebagainya. Tidak cukup dengan hadiah, ada yang meraikan dengan makan malam istimewa dan juga 'pembuktian' ketulusan cinta yang dibina. Walaupun ia jauh sekali menyimpang daripada budaya dan syariat umat Islam, namun kerana nafsu, ia dikira 'halal'.
Hari ini, umat Islam terpaksa berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman sama ada dari sudut budaya mahupun agama. Kita telah dijajah dari keseluruhan cara hidup, mentaliti, kelakuan dan juga amalan kerohanian yang sudah boleh dilihat adanya percampuran dengan unsur-unsur dari barat. Jadi, tidak hairanlah jika sambutan yang diraikan oleh golongan kristian turut sama disertai oleh umat Islam yang mudah terpengaruh.
Justeru, hari kekasih langsung tidak ada dalam sejarah Islam. Malah Islam sentiasa bersifat universal dan tidak dibatasi waktu, tempat,objek dan juga motif untuk menunjukkan kasih sayang. Hal ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Cintailah saudara se-Islam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari). Jadi ikutan siapakah hari kekasih ini? Apabila kita leka, kita secara tidak langsung akan meminggirkan suruhan agama dan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan mencari keseronokan hidup. Tanpa kita sedar, rupanya kita menyambut hari pemujaan penganut kristian.
Asal-usul Hari Kekasih
Menurut catatan sejarah, pelbagai kisah yang diceritakan mengenai asal usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan, sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St. Valentine dengan menganggap beliau seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Walau apa pun, jelas sekali ia langsung tiada kaitan dengan hari kebesaran buat umat Islam untuk turut sama meraikannya.
Allah telah berpesan kepada hamba-Nya, amal buruk jangan dikerjakan tidak kira dalam apa jua bentuk kelakuan sekalipun tetapi manusia sering melakukan sebaliknya. Apa-apa yang dilarang, itulah yang dibuatnya. Sama ada disebabkan ceteknya ilmu agama atau kerana terlalu mengikut hawa nafsu, jawapannya ada pada diri sendiri. Yang pasti, sambutan hari kekasih sudah menjadi trend dan mereka yang tidak meraikannya dipandang kolot dan 'out dated'.
Hakikatnya, sifat manusia ini lemah. Mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang sengaja ingin memusnahkan dan melemahkan pegangan umat Islam. Golongan yang tidak senang dengan kehebatan Islam cuba merosakkan budaya dan akidah walau dengan apa cara sekalipun. Jika kita perhatikan, sebelum tiba tarikh 14 Februari, sebilangan besar media massa di seluruh dunia berlumba-lumba menyiarkan tentang kemeriahan menyambut hari kekasih, pasaraya dan pusat membeli belah pula membuat promosi besar-besaran dari segi hiasan, potongan harga dan juga tayangan filem-filem cinta bagi membesarkan lagi sambutan hari kasih sayang ini.
Sebagai umat Islam yang diwajibkan patuh pada ajaran Islam dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, tinggalkanlah perbuatan yang sia-sia ini. Ia bukanlah hiburan yang boleh mengembirakan hati kita malah memesongkan akidah. Kita wajar tahu yang beramal mengikut sesuatu yang bertentangan dengan suruhan Allah itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan juga keimanan kita terhadap Allah SWT.
Tiada istilah menyambutnya sekadar suka-suka. Keterlibatan kita dengan sambutan hari kekasih yang jelas khusus untuk golongan kristian sudah dikira salah malah jatuh kepada perkara haram kerana menggalakkan pasangan berdua-duaan dan menyalurkan rasa kasih sayang diluar batas syariat. Walau bagaimanapun, bagi yang sudah berkahwin, amat digalakkan berkasih sayang tetapi janganlah membesar-besarkan tarikh 14 Februari sebagai hari yang istimewa buat diri dan pasangan tetapi jadikan setiap hari adalah hari kekasih. Selain memperolehi kebahagiaan, kita juga diberi ganjaran pahala di atas amal kebaikan yang dilakukan setiap hari.
~Cinta harus wujud ttp mesty kene dgn cara n batas nye..bru harmOni + y baek2 blke~
alang2 2..nk share ckt.jke wanita y ingn n t'pkse hidup bermadu pastikn bakal suami anda itu tdk m'ceritakn keburukn isteri pertamanye kpd anda.jk dye melakukn hal sedemikian 90 % dye bkn la dklngn llk y baek_Dato' Dr. Fadhilah Kamsah
..NO Valentine !